Adab Menghadapi Kematian
2 Disember 2023
Jika tiba-tiba mendapat khabar ada kenalan kita meninggal dunia, bagaimana kita akan bereaksi, apa yang patut kita buat?
Mari saya kongsikan ilmu tentang adab menghadapi kematian orang yang kita kenal.
1. Menerima Hakikat Kematian
Ayat Al-Quran
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”
Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.
Boleh jadi juga kerana asal manusia daripada tiada kemudian diwujudkan. Begitu juga kerana matlamat sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sehaja tetapi ia akan di soal di hadapan Allah pada hari harta benda dan anak pinak tidak boleh memberi manfaat kecuali menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.
Ayat Al-Quran
وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ
“Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).”
2. Menerima Kematian dengan Cara dan Adab Islam
Mengucapkan Istirja’ (إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ) apabila menerima berita kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar - (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah (kesusahan), mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Juga boleh memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Hibban di mana Allah bertanya kepada Malaikat (dalam riwayat Ahmad: Malaikat Maut) yang mengambil nyawa anak kesayangan hambaNya:
مَاذَا قَالَ عَبْدِي فَيَقُوْلُوْنَ حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ
Apa yang disebut oleh hamba-Ku? Maka jawab para Malaikat: Ia memuji-Mu dan beristirja’.
Bersabar dalam menerima berita. Ini kerana menurut dalil ayat di atas, diberi pahala yang besar kepada orang yang bersabar.
Berdoa seperti yang diajar oleh Baginda SAW
اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.
3. Solat Jenazah Kepada Si Mati dan Berdoa Untuknya.
Umat Islam menjadi fardhu kifayah ke atas mereka melaksanakan solat jenazah kepada saudaranya yang meninggal dunia. Begitu juga dengan memandikan, mengkafankan dan mengebumikannya.
Pensyariatan solat jenazah berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bertakbir sebanyak empat kali.
Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)
Doa pertama
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ
Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya dengan yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka.
Doa Kedua
اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya, serta ampunilah kami dan dia.
Doa Ketiga
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Ya Allah, ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, sesiapa yang Kamu hidupkan di kalangan kami, maka hidupkanlah ia di atas iman, dan sesiapa yang Kamu matikan di kalangan kami, maka matikanlah ia di atas Islam. Ya Allah, janganlah Kamu halang kami daripada pahalanya dan janganlah sesatkan kami selepasnya.
Riwayat Abu Daud (3201), at-Tirmizi (1204), an-Nasa'i (1986), Ibn Majah (1498), dan lain-lain
4. Larangan Meratap
Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ
Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.
Keterangan: Dibolehkan menangis/mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.
Bahkan dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ المَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ
Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.
Riwayat al-Bukhari (1286), Muslim (928)
Mengikut Imam al-Nawawi, hadith ini diberi beberapa takwilan antaranya:
- Ia ditanggung dengan maksud jika si mati mewasiatkan kepada keluarga dan yang hidup untuk meratap dan meraung atas kematiannya.
- Ia memberi maksud kaum keluarga menangis pada tahap ratapan
- Ia bermaksud ia diazab dengan sebab memperdengarkan tangisan keluarganya untuk menjadikan hati mereka mengasihani berlebihan. Inilah pendapat Ibn Jarir al-Tabari. Hal ini juga dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh.
Sekadar tangisan biasa atau kesedihan tidaklah menjadi kesalahan.
5. Larangan Mengandaikan Kematian Dengan Terjadinya Sesuatu Peristiwa
Hal ini pernah berlaku pada zaman Nabi SAW apabila puteranya Ibrahim telah meninggal dunia dan berlaku gerhana maka Rasulullah SAW membetulkan hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَصَلُّوا وَادْعُوْا حَتَّى يَنْكَشِفَ مَا بِكُم
Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat gerhana berlaku, hendaklah kamu bersolat dan berdoa sehingga keadaan itu terbuka semula (hilang).
Berdasarkan hadith di atas, beberapa pengajaran dapat diambil.
- Hari kematian putera Rasulullah SAW, Ibrahim sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Mubarakafuri: Sepakat ahli tahqiq dari kalangan ahli sejarah dan ahli falak mengikut perkiraan falak ia berlaku pada 28 atau 29 Syawwal Tahun ke-10 Hijrah bersamaan 27 Januari tahun 632 Masihi pada jam 8.30 pagi.
- Putera Nabi, Ibrahim tersebut adalah hasil perkahwinan Baginda dengan Mariyyah al-Qibtiyyah di mana ketika meninggal usianya 18 bulan.
- Boleh menangis tetapi tidak boleh meratap sebagaimana kata Baginda SAW tatkala wafat puteranya itu.
العَيْنُ تَدْمَع، وَالْقَلْبُ يَحْزَنُ، ولا نَقُولُ إِلَّا مَا يُرْضِى الرَّبُّ، وَإْنَّا عَلَيْكَ يَا إِبْرَاهِيم لَمَحْزُونُون
Mata mengalirkan airnya, hati begitu sedih, dan kami tidak berkata kecuali apa yang diredai oleh Tuhan. Dan sesungguhnya kami, atas perpisahanmu wahai Ibrahim, begitu sedih.
- Wujudnya adat Jahiliyyah yang menyandarkan berlaku gerhana dengan sebab kematian tokoh atau kehidupan tokoh yang lain. Hadith ini membatalkan sangkaan golongan ahli nujum yang bersandarkan kepada kejadian alam yang berlaku sedangkan hal tersebut termasuk dalam perkara ghaib.
- Rasulullah SAW membatalkan taqlid jahiliyyah ini dengan menyandarkan kepada ayat tanda kekuasaan Allah untuk memberi peringatan kepada hamba-Nya supaya jangan derhaka dengan meninggalkan kewajipan dan menceroboh apa yang diharamkan.
- Rasulullah SAW menasihatkan ummahnya hatta dalam hal menta’zimkan manusia dalam perkara kematian anaknya (puteranya bernama Ibrahim) di mana Baginda tidak mengiyakan saki-baki amalan jahiliyyah dan sangkaan bahkan dengan tegas Nabi menolak dengan menyatakan gerhana berlaku bukan dengan sebab kematian atau kehidupan seseorang. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram 3/60-62)
6. Adab Pujian Kepada Si Mati
Maksudnya, hendaklah berkata baik kepada si mati dan bukan mengungkitkan perkara yang tidak baik. Ini berdasarkan kepada hadith Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ فَقَالَ لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ ثُمَّ قَالَ اللهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ
Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahlinya riuh rendah, lantas Baginda SAW bersabda: “Jangan kamu doakan atas diri kamu kecuali yang baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan.” Kemudian Baginda berdoa: “Ya Allah, ampunkanlah bagi Abu Salamah, dan angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk.”
Begitu juga menyebut kebaikan si mati dengan perkara yang kita ketahui sahaja seperti ramainya jemaah yang mengiringi si mati. Tidak sewajarnya kita menyebut berkenaan perkara ghaib seperti ramai para malaikat mengiringi si mati kerana tidak diketahui kecuali Allah SWT dan apa yang diwahyukan kepada Rasul-Nya SAW semata-mata.
7. Cara Islam Menyanjung Orang Yang Mulia
Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ
Jangan kamu melampau dalam memujiku sebagaimana orang Nasrani melampau memuji Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah: hamba Allah dan Rasul-Nya.
Mereka bermaksud akan berdiri apabila melihat Nabi, sebagai suatu penghormatan kepadanya dan untuk mengagungkan kedudukannya. Cara seperti itu dilarang oleh Nabi dengan sabdanya:
لَا تَقُومُوا كَمَا تَقُومُ الْأَعَاجِمُ، يُعَظِّمُ بَعْضُهَا بَعْضًا
Jangan kamu berdiri (memberi penghormatan) sebagaimana orang bukan Arab berdiri, saling membesarkan sesama sendiri.
Beliau pun memberikan suatu peringatan kepada umatnya, sikap yang berlebih-lebihan terhadap kedudukan Nabi sesudah beliau mati. Dan dalam doanya kepada Tuhannya beliau mengatakan:
اللَّهُمَّ لَا تَجْعَلْ قَبْرِي وَثَنًا يُعْبَدُ
Ya Allah! Jangan Engkau jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah.
Ada beberapa orang datang kepada Nabi s.a.w., mereka itu memanggil Nabi dengan kata-katanya: “Hai orang baik kami dan anak orang baik kami, hai tuan kami dan anak tuan kami.” Mendengar panggilan seperti itu, Nabi kemudian menegurnya dengan sabdanya sebagai berikut :
يا أيها الناس، قولوا بقولكم، أو بعض قولكم، ولا يستهوينكم الشيطان، أنا محمد، عبد الله ورسوله، ما أحب أن ترفعوني فوق منزلتي التي أنزلني الله عز وجل
Wahai manusia, ucapkanlah seperti ucapan kamu biasa atau hampir seperti ucapan kamu yang biasa itu, dan jangan sampai kamu diperdaya oleh syaitan. Aku adalah Muhammad, hamba Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak suka kamu mengangkatku melebihi kedudukan yang telah Allah tempatkan aku padanya.
Riwayat an-Nasa'i (sanad yang baik)
Hal ini kerana Allah suka kepada orang-orang yang baik, taqwa dan tidak perlu menampak-nampakkan kepada orang lain. Mereka ini apabila datang tidak dikenal, dan apabila pergi tidak dicari. Sekalipun keabadian itu sangat perlu bagi manusia, tetapi tidak mesti dengan didirikannya patung untuk orang-orang besar yang perlu diabadikan itu.
Cara untuk mengabadikan yang dibenarkan oleh Islam ialah mengabadikan mereka itu ke dalam hati dan lisan, yaitu dengan menyebut kejayaan perjuangan mereka dan peninggalan-peninggalan yang baik-baik yang ditinggalkan untuk generasi sesudah mereka. Dengan demikian mereka itu akan selalu menjadi sebutan orang-orang terkemudian. Rasulullah SAW sendiri dan begitu juga para khalifah dan pemuka-pemuka Islam lainnya, tidak ada yang diabadikan dalam bentuk fizikal dan patung-patung yang terbuat dari batu yang dipahat.
Keabadian mereka itu semata-mata adalah kerana sifat-sifat baiknya yang dikisahkan oleh orang-orang terdahulu kepada orang-orang kemudiannya dan yang disampaikan oleh orang-orang tua kepada anak-anaknya. Sifat beliau itu tertanam dalam hati, selalu disebut dalam lisan, selalu berkumandang di majlis serta memenuhi hati, walaupun tanpa diwujudkan dengan patung dan gambar.
8. Amalan Yang Boleh Dilakukan Sebagai Sumbangan Orang Yang Masih Hidup Kepada Si Mati
- Doa dan istighfar. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
Ayat Al-Quran
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.””
- Ini berdasarkan banyak riwayat dan hadith antaranya riwayat Bukhari (1388) dan Muslim (1004) daripada Aisyah bahawa Sa’d bin Ubadah pernah bertanya: Hai Rasulullah. Sesungguhnya ibuku telah mati mengejut dan tidak sempat wasiat. Apakah baginya pahala jika aku sedekah untuknya? Jawab Baginda SAW, “Ya.”
- Haji dan umrah. Berdasarkan hadith yang sahih riwayat Bukhari (1852). Antara lain kata Baginda SAW, “Ya. Hajilah untuk ibumu.”
- Daripada Aishah RA bahawa Nabi SAW bersabda
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Sesiapa yang mati sedangkan ada baginya puasa (yang wajib diqada), maka hendaklah walinya berpuasa bagi pihaknya.
Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)
Mengikut pendapat mazhab Hanafi, Hanbali dan ulama muta’akhirin di kalangan Syafie dan Malik bahawa sampai pahala daripada orang yang hidup kepada si mati.
9. Ziarah Kubur
Dibahagikan kepada dua bahagian.
Pertama: Antara amalan-amalan sunat
- Disunatkan memberi salam kepada ahli kubur, mendoakan mereka agar mendapatkan rahmat, ampunan dan afiyah (kekuatan). Di antara doa yang dianjurkan untuk dibaca adalah:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَاللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.
Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penghuni kubur dari kalangan mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami, insya-Allah, akan menyusul kamu. Semoga Allah Ta’ala memberikan rahmat kepada orang-orang yang telah mendahului kami dan orang-orang yang akan datang kemudian. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk kami dan untuk kamu.
- Membaca al-Qur’an kepada si mati. Walaupun masalah ini khilaf di kalangan ulama tetapi kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulama’. Antara yang menyokong pendapat ini seperti Ibn Qudamah al-Maqdisi dan juga ulama-ulama yang lain.
Kedua: Amalan Bid’ah dan Khurafat
Antaranya adalah:
- Mengambil tanah kubur dengan sangkaan berkat atau ada kelebihan.
- Meminta berkat, pertolongan dan istighathah daripada kubur. Syirik yang tidak nyata, iaitu yang tersembunyi adalah meminta doa dan pertolongan dari kubur atau orang mati seperti minta tolong melepaskan dari bala kesusahan dan lain-lain. Ini kerana, orang yang telah mati yang berada dalam kubur tidak boleh memberi sesuatu pertolongan kepada orang yang hidup, bahkan orang yang hidup dituntut supaya berdoa untuk orang telah mati.
- Meletakkan sesuatu makanan atau melakukan korban untuk kubur.
- Beribadat, solat, dan lain-lain di atas kubur kecuali solat jenazah.
Sewajarnya umat Islam wajib menginsafi qada dan qadar Ilahi serta menerima berita kematian dengan sabar dan reda. Elakkan juga daripada melatah dengan ungkapan, perbuatan serta iktikad yang tidak sepatutnya, apatah lagi melanggar syariat Islam.
Wallahua’lam



